7 Tips Tingkatkan Susu Ibu Supaya 'Newborn' Tak Menangis Kelaparan

Wednesday, December 16, 2015

Assalamulaikum,

Sepanjang menyusukan anak, saya juga pernah alami zaman susu merudum. Pelbagai cara tingkatkan susu ibu yang pernah dicuba. Banyak tips yang telah saya cuba. Ada yang berjaya ada yang tidak.


Oleh itu, berikut adalah perkongsian 7 tips yang paling berkesan buat saya untuk tambahkan susu badan. Insyaallah, ia juga berkesan buat anda. Dan mungkin juga tidak berkesan.

Banyak faktor yang mempengaruhi, seperti profession ibu, tahap stress, pemakanan, supplemen dan pelbagai lagi.

No harm to try. Mana tahu ianya berkesan kan?

Usah terlalu dengar kata-kata orang. Percayakan gerak hati mu, ibu. Andalah orang yang paling hampir dan mengenali bayi mu. Bukan orang lain.

tingkatkan susu ibu, tingkatkan susu badan, meningkatkan susu badan, petua tingkatkan susu badan, tambah susu badan,

1- Menyusukan 'On Demand'


Tak perlu tunggu 2-3 jam sekali untuk menyusukan anak. Ketika anak menunjukkan tanda-tanda mahu menyusu, dakaplah dia dan susukan.

Mungkin juga anda baru saja sudah menyusukan 15 minit yang lalu. Ia tak mustahil bayi anda mahukannya lagi.

Ketahuilah ada banyak sebab mengapa bayi mahu disusukan. Posisi menyusu adalah posisi yang paling aman selepas dia lahir ke dunia. Tak selesa, bising, atau takut membuatkan bayi minta disusukan.

Ya, ianya bukan mudah. Sangat memenatkan, tapi yakinlah ianya pasti menjadi momen terindah dalam hidup anda.

Pengalaman sendiri, boleh dikatakan 24 jam penuh si kecil tu nak menyusu saja. Walaupun mata terpejam, tapi bila tarik puting keluar menangislah dia macam kena dera. 

Kena dodoi pun tak jalan. Akhirnya, terpaksa cari jalan 'win-win situation'. Saya baring atas katil, dan tiarapkan bayi atas dada. Huh, barulah rasa lega dan rehat.

2- Pam Selepas Menyusukan

Ini yang saya lakukan masa menyusukan anak kedua. Perangai menyusu Sofhea, tak sama macam kakaknya dulu.

Bila kenyang, dia sendiri akan lepas. Dan tidur sendiri.

Oleh itu, saya ada banyak masa untuk mengepam selepas menyusukannya. Fungsinya adalah untuk mengosongkan payudara. Bila sudah kosong sepenuhnya, otak akan menghantarkan signal supaya payuadara dapat hasilkan lebih banyak susu.

Bagaimana mahu pastikan ianya benar-benar kosong? Anda akan merasa payudara menjadi lembik, dan bila anda cuba picit menggunakan jari, tiada susu yang keluar.

Usah bimbang, susu sempat di'refill' dan sedia untuk diminum semula.

3- Makan Nasi

Berpantang bukanlah waktu yang sesuai untuk diet. Tapi ia juga tak bermakna kena makan berpinggan nasi untuk tingkatkan susu ibu.

Makan nasi secukupnya. Pastikan ianya adalah hidangan yang lengkap. Ada protein dan juga banyak sayuran.

Pernah cuba tidak mengambil nasi di waktu tengahari, nampak susu agak berkurang. Lepas tu, takut untuk tinggal nasi.

4- Minum Air Semasa Menyusukan Anak

Sediakan sebekas air semasa menyusukan anak. Bukan minum terus sampai perut kembung. Tapi minumlah sedikit-sedikit.

Pada saya tips ini memang berkesan untuk tambah susu badan. Air adalah elemen paling penting bagi penghasilan susu.

Teknik ini juga boleh diaplikasi ketika anda mengepam susu. 

5- Supplemen Menyusukan 

Selain daripada menjaga pemakanan harian, saya juga mengambil supplemen menyusukan anak.

Saya amalkan Vitalea, B Complex, SR Vita C, Alfalfa Complex dan Ostematrix. Kesan yang paling ketara saya nampak, susu badan lebih pekat.

Kalau sebelum ini, susu nampak cair kerana hindmilk tak banyak. Hindmilk ini adalah susu yang keluar selepas foremilk. Ianya kaya dengan lemak dan berfungi membuatkan bayi rasa kenyang dan berat bertambah.

Mungkin inilah antara sebab anak pertama dulu suka mengempeng, dia tak puas menyusu. Masa anak kedua, awal-awal lagi dah amalkan supplemen menyusu ini.

Walaupun banyak kali tak dapat tidur lena waktu malam. Alhamdulillah, badan tetap rasa cergas dan tak letih. Anak nak menyusu banyak kali pun tak kisah, positif memanjang.

6- Bertenang

Bertenang akan membuatkan anda jadi lebih waras. Apabila stress, biasanya kita akan bersikap terburu-buru.

Bila anak menangis saja, terus gelabah dan salahkan susu badan tidak cukup. Mungkin saja, ada yang ambil jalan mudah. Putus asa dan berikan susu formula.

Jangan tau. Selagi anda susukan anak, susu ibu pasti ada. Stress hanya membuatkan susu terbantut untuk keluar. Apa-apa pun cuba untuk bertenang.

7- Percayakan Diri

Usah pernah ragui kebolehan badan menghasilkan susu. Allah Itu Maha Adil, Dia yang menjadikan anak, maka Dia juga yang menjadikan makanan untuk anak.

Yakinlah anda juga mampu hasilkan susu badan secukupnya. 

Elakkan dari fikir susu tak cukup, bayangkan susu banyak dan anak puas menyusu. Paling penting jangan bandingkan diri anda dengan ibu menyusu yang lain.

Saat anda mula membanding, itu adalah saat dimana anda mula tak bersyukur.

Yakin, usaha dan usaha lagi. Insyaallah anak anda takkan menangis kerana susu tak cukup.


You Might Also Like

2 comments

  1. senang jiwa membaca entry puan-ayat yg mudah difahami, tidak sarcastic, relax. terima kasih, puan

    ReplyDelete
    Replies
    1. alhamdulillah. harap dapat memberi manfaat buat semua.

      Delete

WeLoveSusuIbu On FB

WeLoveSusuIbu Instagram

Nuffnang

WeLoveSusuIbu Youtube