Sikap Ambil Mudah Buat Saya Hampir Gagal Menyusukan Anak!
Friday, December 04, 2015Assalamulaikum,
Cuba kembali merenung apa yang membuatkan saya memilih untuk menyusukan anak. Fikir punya fikir, ia adalah kerana saya terinspirasi dengan ibu saya.
Ibu saya berjaya menyusukan kami adik beradik. Tanpa sebarang bantuan susu formula.
Jadi mengapa tidak saya lakukan perkara yang sama untuk bakal anak-anak nanti. Saya sendiri sudah merasa kebaikan susu ibu yang tiada tandingannya.
Saya adalah bukti susu ibu adalah HEBAT.
Sejak dari itu saya sering membayangkan momen indah menyusukan anak. Walaupun saya tak hamil lagi.
Alhamdulillah, selepas setahun berkahwin saya mula hamil. Dan keputusan saya masih sama, tiada sebarang susu formula untuk anak saya.
Tiada sebarang masalah dari awal hamil hingga saat lahirkan anak. Tetapi, manusia mana tak diuji kan? Saya mengalami komplikasi semasa mahu melahirkan anak.
Saya terpaksa melahirkan anak secara induced dan hampir saja kena C-Sect. Anak saya pula terpaksa dimasukkan di NICU.
Waktu itu bayangan indah yang saya dah impikan selama ini hancur. Saya takut tak dapat susukan anak. Dan yang lebih gerun lagi, apakah anak saya selamat?
5 hari anak saya di NICU. Dan saya hanya boleh melihatnya dari jauh sahaja.
Tiada langsung susu ibu yang masuk ke mulut anak saya.
Rupanya impian saja tanpa ilmu, ianya takkan mungkin berjaya. Saya selalu menyangka yang susukan anak ini senang, lahir je anak terus pandai menyusukan.
Saya SALAH.
Rupanya sangat penting mempelajari ilmu penyusuan. Supaya kita lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang tiba.
Anak di NICU, saya di rumah. Hati tak tenang. Saya cuba memerah susu, tapi sedikit saya yang keluar. Warna susu saya kuning, ada beberapa titik saja.
Tetap juga saya kerahkan suami hantar ke hospital. Walaupun hakikatnya mungkin susu saya itu dbuang sahaja.
Saya risau, mengapa susu saya terlampau sedikit. Ya Allah sedihnya hati.
Macam-macam saya cuba, lobak putih yang tak sedap pun saya telan semata-mata nak susu banyak. Kononnya susu melimpah selepas itu.
Berurut pun saya lakukan. 100% saya serahkan diri kepada Mak Ros. Buatlah apa saja asalkan susu saya banyak.
Ya Allah, sakit sampai menggigil ketika itu. Habis ditekan-tekan puting saya. Mak Ros kata susu kuning nilah yang buat sumbat dan kena buang.
Saya pasrah. Saya tak tahu.
Rupanya susu kuning yang dikatakan tak elok tu adalah KOLOSTRUM. Cairan emas yang ada 1001 kebaikan. Sedihnya anak saya tak dapat pun merasa walau setitis.
Tetap saja susu badan saya tak bertambah. Saya fikir ‘milk booster’ dan berurut boleh buat susu keluar banyak.
Sekali lagi saya SALAH.
Biarlah walau 100kg lobak putih yang saya makan, tapi jika tiada aplikasi konsep ‘supply demand’ susu tetap takkan bertambah.
‘Supply demand’ adalah konsep terpenting dan ianya perlu difahami oleh ibu sebelum mula menyusukan anak. Susu ibu bukanlah seperti air paip, buka saja melimpah yang keluar.
Susu ibu perlukan ransangan. Ransangan adalah dari hisapan bayi itu sendiri dan aktitivi mengepam susu.
Bila ada ransangan, barulah ‘signal' dihantar ke otak dan otak akan memberitahu pada payudara untuk menghasilkan susu.
Lebih banyak ransangan, lebih banyak susu yang keluar.
'Better late than never'.
Walaupun saya tidak dapat menyusukan anak di hari-hari awal kelahiranya. Ia bukanlah satu alasan untuk saya terus berputus asa.
Saya gali sebanyak mungkin ilmu semasa dia di NICU. Saya lengkapkan diri untuk menyusukan dia. Bantuan jururawat di hospital sangat mengagumkan.
Mereka benar-benar mahu saya berjaya menyusukan anak. Tak jemu ajarkan cara lekapan yang betul, sungguh mereka nak membantu. Sampailah anak saya berjaya menyusu buat pertama kali dalam hidupnya.
Tolong jangan ulangi kesilapan yang saya telah lakukan.
Kalau benar anda mahu menyusukan anak. Pergilah menuntut ilmu. Ajaklah suami ke kelas penyusuan. Kalau tak boleh ke kelas, pergilah beli buku yang berkaitan dengan penyusuan.
Jika diluar kemampuan, carilah ilmu di dalam Internet. Terlalu banyak ilmu yang boleh dipelajari.
Saya doakan agar semua ibu-ibu yang telah memilih untuk menyusukan anak berjaya. Ia tidak mudah, tapi ianya bukan mustahil.
Bila anda memandang ke mata anak, anda tahu bahawa dalam darahnya mengalir susu yang anda berikan.
0 comments