Assalamualaikum,
Mesti ada ibu-ibu yang ada masalah macam ini kan? Dah pulun makan sawi, tapi susu tak banyak pun. Hati sudahlah risau, stok susu sudah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Apa nak buat supaya susu jadi banyak? Dan tak payah lagi risau, sebab stok susu bertingkat-tingkat dalam 'deep freezer'.
Sawi ke atau segala macam 'milk booster' tak akan berkesan kalau anda tak ikut konsep utama menyusukan anak. Bila ada 'demand', barulah ada 'supply'.
Jadi cuba semak 5 perkara di bawah, mana tahu inilah sebabnya susu tak banyak. Walaupun dah muak makan sawi.
1- Cukup Ke Ransangan?
Apabila anda mula rasa susu makin tak cukup. Cuba semak, cukup ke ransangan yang diterima? Samaada dari penyusuan terus dari bayi ataupun aktiviti mengepam susu.
10 periuk sawi tidak akan tambah susu, kalau bab ransangan pun tak lepas. Bayi sepatutnya disusukan 2-3 jam sekali.
Usah seronok sangat kalau anak tidur lena sampai 5 jam. Kejutkan anak untuk menyusu. Suka melengahkan menyusukan anak, akan membuatkan susu terkumpul di dalam payudara.
Dan ia akan menghantar signal, bahawa tidak perlu lagi tambah pengeluaran susu. Jika anak tak nak juga menyusu, pamkan susu dan simpan sebagai stok.
2- Beri Susu Formula Ke?
Ini adalah tindakan yang paling bahaya. Bahaya sebab susu formula akan menganggu kitaran penghasilan susu yang cukup.
Macam mana?
Bayi anda lapar dan sebab anda rasa susu badan tak banyak. Anda pun bancuh susu formula 4oz. Anak pun laju saja minum. Sampai habis, padahal saiz perut bayi hanyalah besar biji guli.
Akhirnya dia tidur nyenyak kekenyangan. Bila dah kenyang, pastilah anak tak mahu bangun tidur. Dan sudah pastilah dia tidak menyusu dengan ibunya.
Bila tak menyusu, maka susu tidak dikeluarkan secara efektif. Kesannya susu mula jadi makin kurang.
Jika anda benar-benar mahu susukan anak, cubalah hentikan pemberian susu formula.
3- Stress Ke?
Kadang-kadang sebab sudah lama cuti berpantang, bila nak kerja mulalah nak rasa stress. Stress sebab fikirkan anak di tempah pengasuh.
Stress sebab susu tak banyak. Stress kerja jauh balik dah malam. Dan macam-macam lagi.
Cuba bawa bertenanang. Setiap masalah pasti ada penyelesaian. Tahu tak bahawa 90% kegagalan menyusukan anak adalah dari sebab stress.
Kendalikanlah stress dengan baik. Banyakkan mengambil makanan yang kaya B-Complex, ia adalah anti stress semulajadi.
4- Tak Pam Dengan Cukup
Menjadi ibu yang bekerja dan masih menyusukan anak bukan satu tugas yang mudah. Jenis pekerjaan, fasiliti di pejabat dan keadaan di pejabat mempengaruhi sesi mengepam ini.
Paling ideal dalam tempoh 8 jam, anda perlu mengepam sebanyak 4-3 kali. Oleh itu, cuba semak adalah susu tak banyak ini disebabkan anda tak mengepam dengan cukup?
Jika anda tak dapat memenuhi mengepam dengan kerap. Cubalah untuk tambah tempoh mengepam, dari 15 minit ke 30 minit.
Dan adalah lebih baik jika anda boleh mengepam di waktu dinihari. Antara pukul 12 - 6 pagi. Diwaktu ini hormon penyusuan sangatlah tinggi, dan ia akan tambahkan susu anda.
5- Terlampau Letih
Sewaktu berpantang boleh jadi tempoh yang paling meletihkan. Apabila anak jenis yang mahu melekap 24 jam.
Ataupun pengalaman baru, terpaksa bekerja dan dalam masa yang sama berusaha mencukupkan susu buat si manja.
Keadaan ini boleh menyebabkan anda menjadi terlampau letih. Apabila fizikal letih, minda juga menjadi letih.
Anda akan menjadi lebih mudah mengalah dan mengambil jalan pintas. Seperti memberikan susu formula kepada anak. Padahal 'deep in your heart' anda benar-benar mahu hanya susu ibu yang terbaik buat anak anda.
Cuba uruskan masa anda dengan baik. Susun ikut keutamaan, cuba untuk tutup sebelah mata untuk perkara-perkara yang kurang penting seperti mengemas rumah.
Jagalah apa yang anda makan, dapatkan makanan yang seimbang. Dan sebaiknya tambahkan supplemen untuk kualiti kesihatan yang optimum.
Ibu yang sihat mental fizikal, Insyallah akan dapat atasi masalah susu tak banyak. Walaupun tanpa makan 'milk booster'.
Teruskan berjuang, jangan mudah mengalah. Menyusukan anak tak mudah, tapi harga begitu bernilai. Suatu hari anda akan melihat anak anda dan mengatakan "susu aku mengalir di dalam badannya".