9 Tanda Anda Mungkin Sedang Membesarkan Anak Manja. Waspada!

Tuesday, February 02, 2016

Assalamualaikum,


Anak manja sangatlah sinomin dengan cerita Anakku Sazali. Dek kerana terlalu menurut kemahuan anak, anak yang disangka menjadi ‘orang' telah bertukar menjadi raksasa. Sampaikan hilang terus rasa hormat anak kepada ayahnya.


Siapalah yang tak ingat cerita lagenda itu kan?

Ia adalah realiti sebuah kehidupan.

Memanjakan anak hanya akan memburukkan hidupnya di masa hadapan. Ia tidak akan menjadikan anak punyai sifat menyayangi dan menghormati ibu ayahnya.

Jadi adakah anda sedang membesarkan anak manja? 9 tanda di bawah mungkin memberikan jawapannya:


1- Menurut Semua Kehendak Anak

Ya ia jalan yang paling mudah untuk buat anak diam dan gembira. Anak baru merengek sedikit, terus saja belikan mainan baru untuknya.

Padahal anda sudah tahu yang bukanlah anak mahukannya sangat. Usah ambil jalan mudah.

Tahan kehendak anak. Ajarkan anak tentang tidak. Dan anda perlu bertegas dengan keputusan yang dibuat. Walaupun mungkin ketika itu anak sudah berguling melalak mahukan mainan.

No means no!

2- Sering Membuat Ugutan Palsu

“Sekali lagi awak campak mainan, petang ni kita tak payah main di taman” Jangan hanya cakap saja, tapi buktikan yang anak tidak anak ke taman petang ini.

Ugutan palsu yang berulang kali akan membuatkan anak menjadi ‘berani’. Dan dia juga akan menganggap ibu atau ayah cakap tak serupa bikin. Selain itu ia juga akan mengugat rasa hormat anak kepada ibu dan ayah.

Anak menjadi tidak takut untuk terus buat kesalahan. Dan mungkin lama kelamaan dia akan buat sesuatu yang lebih buruk lagi.

Tunjukkan siapa bos sebenar di rumah. Ibu dan ayah adalah bos yang perlu dihormati.

3- Tidak Konsisten Dengan ‘Rules' Yang Telah Buat

Ibu dan ayah mesti bertegas. Jika anda telah membuat peratuhan berusahalah untuk mematuhinya.

Sebagai contoh, hanya 1 jam sehari untuk menonton tv. Ikutilah dan jika anak minta lebih lagi, usah ikutkan. Walaupun hanya 5 minit lagi.

Jika sekejap boleh, sekejap tidak boleh. Anak akan beranggapan bahawa ia bukanlah perkara yang besar. Kalau buat pun ibu ayah tak marah.

4- Sentiasa Menjadi Pelindung Kepada Kekecewaan Anak

Usah ‘over protect’ anak kita. Ajarkan dia realiti kehidupan. Tentang kehilangan, kecewa dan sebagainya. Itu yang akan menjadikan dia manusia berguna.

Sebagai contoh, mainan kesayanganya hilang. Membelikan mainan baru bukanlah jalan yang terbaik.

Sebaliknya dedahkan anak dengan kekecewannya itu. Biarkan anak menghadapi akibat dari masalah yang dilakukan. Mainan yang hilang tadi adalah akibat dari sikap kurang hati-hatinya.

Ajarkan anak dengan sesuatu yang sukar, supaya kelak apabila dia besar lebih mudah dia menjalani hidup sebenar.

5- Sering Memewahkan Anak

Mainan mahal, tab, baju berjenama dan macam-macam lagi kemewahan yang diberi pada anak. Katanya ia adalah bukti dan tanda kasih.

Duit dan kemewahan tidak akan pernah berjaya menjadi pengganti kasih sayang.

Kemewahan yang kerap akan menjadikan anak menjadi seseorang yang tidak tahu menghargai sesuatu. Tahankan kehendak anak. Usah turuti kemahuannya yang tidak perlu.

Gantikan dengan kualiti masa bersama-sama. Itu sudah cukup.

6- Beri Rasuah Pada Anak

“Adik kalau kemas rumah, nanti ayah belikan mainan Tobot XYZ tu ye”.

Sesekali mungkin tidak mengapa-ngapa. Tapi jika terlalu kerap, maka anak mengharapkan balasan untuk setiap perkara yang dilakukannya.

Tiada ‘reward' tak mahu buat.

Gantikan dengan pujian dan biarkan anak merasa bangga dengan apa yang dilakukannya. Ia juga akan mengajarkannya kemahiran kehidupan.

7- Tak Ajarkan Tentang Terima Kasih

Jadikan ucapan terima kasih sebagai perkara rutin di rumah. Ajarkan anak untuk ucap terima kasih.

Anda juga perlu ucapkan terima kasih apabila anak membantu atau menurut arahan. Ia sangat membantu mengelakkan anak anda menjadi anak manja.

8- Anak Sering Ganggu Perbualan

Pernahkah anda sedang bercakap dengan pasangan, tiba-tiba anak anda mencelah.

Ia adalah perbuatan yang kurang sopan. Ajarkan anak untuk tunggu giliran untuk bercakap. Seperti “Adik, ibu tengah cakap dengan ayah. Tunggu ibu habis cakap kemudian adik baru cakap”.

Tapi ia hanya akan menjadi, jika anda juga menghormati perbualan anak-anak. Kanak-kanak umpama orang dewasa yang kecil.

Jadi hormatilah mereka sebaiknya.

9- Semua Ikut Apa Yang Anak Mahu

Hatta nak langsir warna apa pun anak yang tentukan. Kalau tak ikut dia akan merengek sampailah ibu dan ayah mengalah.

Memberikan anak peluang untuk membuat pilihan itu bagus. Tapi jika terlalu kerap, sehingga melibatkan perkara yang besar. Ia adalah tanda yang tidak bagus.

Pastikan anda yang mengawal anak. Bukan anak yang mengawal anda.

Anak ibarat kain putih. Kalau cantik corak yang dilorekkan maka cantiklah sifat dan sikap nanti. Kalau buruk, maka buruklah akibatnya.

Jangan sampai nanti kita dipersoal di akhirat “apakah yang kamu telah lakukan kepada anakmu?”.

You Might Also Like

1 comments

  1. Betul tu, jangan dimanjakan anak sampai jadi terlalu dependent bila membesar nanti

    ReplyDelete

WeLoveSusuIbu On FB

WeLoveSusuIbu Instagram

Nuffnang

WeLoveSusuIbu Youtube