Assalamualaikum,
Sungguh saya tertipu. Mati-mati saya fikir dia Safiey Ilias itu wanita. Rupanya dia seorang mak nyah. Tak pernah menyangka.
Lama sudah saya ikuti Safiey Ilias di Facebook. Kagum dengan semangat kentalnya sebagai seorang usahawan. Asetnya di kala umur 22 tahun, sudah pun 10 juta.
Sudahlah cantik, bergaya dan kaya pula itu. Manusia mana yang tak suka nikmat dunia begini kan?
Namum disebalik kekayaan dan kemewahan yang dia miliki. Ada satu titik kosong dalam hati. Hidup dia seperti tidak bertuhan. Tidak tenang.
Sampailah satu detik, Allah jentik hatinya di kala Subuh. Waktu itu dia solat setelah lama meninggalkan. Menangis kesal atas kemaksiatan dan kemurkaan yang pernah dilakukan. Hidayah ini rahsia Allah, hanya akan diberi pada sesiapa Dia mahu. Kerana hanya Allah yang lebih mengenali inci setiap manusia.
Jadi jangan pernah kita menjadi hakim yang tak dilantik. Menghukum pendosa, seolah-olah yakin dia bakal dihumban ke neraka. Walhal, pendosa tadi di akhir hidupnya diangkat menjadi ahli syurga.
Sebenarnya, banyak perkara yang terkesan dihati bila menonton kisah hijrah Safiey Ilias. Tapi ada 5 perkara yang benar-benar mahu saya kongsikan.
1- Mencari Hidayah Allah
Benar hidayah itu milik Allah. Tapi kalau kita menunggu sahaja. Barangkali ianya tidak akan pernah sampai kepada kita.
Cariah hidayah Allah. Din mula mencari apa makna disebalik hidup mewahnya. Apa erti hidup dia. Din mahu rasa hidup ada tuhan.
Katanya, pondan di Thailand pun sembahyang juga. Jadi saat itu, apa yang terlintas di hatinya adalah menjadi mak nyah beriman.
Masih tak sanggup dia kembali menjadi lelaki.
2- Utamakan Solat
Safiey Ilias mula solat. Walaupun dia keliru, nak solat cara lelaki atau wanita. Akhirnya, dia solat dengan jubah wanita miliknya.
Sebaik mungkin dia jaga solat. Walaupun waktu melepak dengan kawan-kawan. Sebaik mungkin dia cuba tak tinggal solat.
3- Hayati Solat
Ini betul-betul beri kesan di hati. Apa erti solat kita? Adakah sekarang penuhi kewajipan yang 5? Solat itu doa. Solat itulah yang menyambung hubungan kita dengan sang Pencipta.
Setiap bacaan solat, adalah doa kita memohon padaNya. Safiey berkata, di setiap solatnya pasti dia menangis. Tangisnya kerana takut akan dosa yang dia pernah lakukan.
Lebih baik jika kita rasa berdosa dan bertaubat. Dari kita merasa langsung tidak berdosa. Suci seperti ada dua sayap di bahu.
Ayuhlah kita sama-sama usaha perbaiki solat kita. Supaya solat kita bakal menjadi asbab kita ke syurga. Berdoalah agar solat kita tak dilempar kerana tiada makna.
4- Jangan Jadi Hakim
Manusia memang suka menghukum. Suka menilai. Padahal hanya Allah Al-Hakim.
Din kata dia sangat tertekan disemasa di universiti. Dia mahu kekal jadi lelaki. Tapi ramai betul yang mengeji dan mencaci. Dah lembut macam ini baik jadi perempuan.
Tak tahan, iman nipis. Lalu dia nekad berhenti belajar. Esok hari terus dia ke Thailand untuk jalani pembedahan payudara.
Kononnya dia mahu menutup mulut-mulut busuk yang mengeji dirinya. Biar dia puas hati.
Lihat hanya sebab jahatnya mulut manusia. Jika kata-kata hanya membawa binasa, berdiam itu berjuta kali lebih baik.
5- Selangkah Manusia, Beribu Langkah Allah
Allah Maha Pengasih, sayangnya Dia pada hambaNya berpuluh kali ganda sayang ibu pada anaknya.
Lihat sajalah, walaupun bergunung dosa kita lakukan masih saja banyak nikmat yang diberi. Din, walau dalam kancah dosa apa saja yang dia minta Allah beri. Nikmat dunia hampir semua dia dah dapat.
Perniagaan maju, harta berjuta dan macam-macam lagi.
Apatah lagi bila kita mulakan langkah kita menuju Dia. Tak mahukah kita menjadi hamba yang Dia sayangi?
Doa saya moga Din dan sesiapa yang sedang bermujahadah istiqamah. Paling penting moga kita semua diberi pengakhiran yang baik, khusnul khatimah.
"Ya Allah, jika Engkau mengkehendaki kami mati, maka matikanlah kami pada saat Engkau redha pada kami. Dan moga di waktu itu, kami juga redha padaMu"
Amin Ya Rabbal A'lamin