Jadi mak kena bijak dalam semua hal, termasuk elak anak bergaduh. Bayangkan sajalah tengah elok-elok main, tiba-tiba adik rampas mainan kakak. Kemudian berlakulah episod berebut dan jerit menjerit.
Jadi sebagai mak, apa yang kita boleh lakukan? Apakah dengan cara kita menjerit sama dan marahkan, pergaduhan tadi boleh reda?
Apa kata cuba tips di bawah;
7 Tips Bijak Elak Anak Bergaduh Supaya Mak Tak Marah!
1- Leraikan Pergaduhan
Bertindak cepat, leraikan dulu pergaduhan anak-anak. Pisahkan mereka, jauhkan anak-anak dari spot tempat mereka bergaduh tadi. Aura negatif itu mungkin juga akan melekat pada mak. Jadi jauhkan diri dari tempat tadi.
Elakkan menjerit ketika waktu ini.
2- Selidik Punca
Usah terus menghukum si kakak atau adik. Anak-anak ada perasaan, dan ianya sangat halus. Jika kita terus memarahi anak, emosinya akan tercalar dan kesannya membawa hingga dia besar.
Tanyakan secara baik-baik pada anak. Sebaiknya melutut supaya laras mata kita separa dengan anak. Siasat mengapa mereka bergaduh. Jika ada anak yang tak cakap benar, boleh cuba gunakan pendekatan psikologi.
Contohnya 'Kakak tahu tak, orang yang cakap jujur Allah sayang, boleh masuk syurga. Dalam syurga apa saja kakak nak boleh dapat. Kakak beritahu yang sebenar pada mak'. Insyaallah anak tak takut nak beritahu perkara yang betul, walaupun dia yang salah.
3- Tenangkan Mangsa
Biarkan seketika anak menangis, mereka juga dibenarkan meluah emosi. Selepas itu cubalah tenangkan anak. Tunjukkan yang kita simpati pada dia. Tanyakan di mana yang sakit.
Jika ada kesan luka, letakkan lah ubat. Jika takde pun, gosok-gosoklah sedikit. Sentuhan mak ni ada sakti. Tiba-tiba anak boleh berhenti menangis. Berkesan bukan tip elak anak bergaduh ini?
Dan beritahu pada anak yang adik tak sengaja terpukul kuat, atau adik masih belum tahu. Ajar juga kakak untuk maafkan adiknya.
4- Nasihat Anak
Peganglah bahu atau tangannya. Beritahu padanya tindakan adik memukul kakak adalah salah. Walaupun umur anak baru saja 2 tahun.
Usah underestimate anak kita. Walaupun dia buat muka 10 sen atau buat tak reti, sebenarnya dia mendengar dan faham. Ajak anak untuk minta maaf pada kakaknya tadi. Dan suruh mereka berpelukan tanda damai.
5- Tarbiah Berterusan
Sebagai mak mesti banyakkan bersabar, sekali nasihat sahaja belum tentu menjadi. Tarbiah atau nasihat yang berterusan diperlukan.
Bila-bila masa mak boleh beri kata-kata nasihat untuk elakkan anak dari bergaduh. Contoh ketika menonton tv dan ada adegan berebut barang. Dan selalu ingatkan anak-anak tentang kesan berbuat baik seperti bersabar. Kaitan kebaikan yang dilakukan dengan syurga.
6- Usah Buat Perbandingan
Hati-hati bila berkata-kata dengan anak. Usah sesekali bandingkan anak-anak. Contoh 'Adik, cuba tengok kakak tu elok je duduk. Adik ni, terlompat sana sini'.
Cuba tukarkan kepada 'Adik kan anak yang baik, adik duduk elok-elok ya, mak tak nak adik terjatuh nanti luka. Kesian adik'. Hati anak-anak lembut. Jadi sentuhlah dengan lembut.
Perbandingan beri kesan buruk kepada anak. Anak akan berasa iri hati dan sering tak puas hati. Dia juga akan berasa kurang keyakinan diri dan kurang mendapat perhatian. Jadi anak akan gunakan platform bergaduh untuk curi perhatian mak.
7-Ajarkan Tolak Ansur
Kerap ajarkan konsep tolak ansur pada anak-anak supaya mereka paham. Beri contoh yang mudah anak fahami. Seperti ketika mereka sedang bermain, katakan saja 'share and take turn' jika mereka mula berebut.
Bila mereka berkongsi, maka semakin kecillah risiko mereka bergaduh.
Ingat tau anak bukanlah hak milik kita. Mereka hanyalah amanah untuk kita didik supaya menjadi calon ke syurga. Mereka juga punya hak dan hati dan perasaan. Jadi tak usah dimarah-marah atau dibentak-bentak.
Anak-anak adalah 'young adult'. Jika mahu dihormati dan dikasihi mereka. Kita yang perlu lakukan dulu. Moga tips bijak elak anak bergaduh ini dapat membantu mak jadi mak yang lebih cool dan terbaik di mata anak-anak.
Boleh juga baca cara untuk atasi masalah anak malas belajar.
Boleh juga baca cara untuk atasi masalah anak malas belajar.