sisi kejam seorang ibu
Tuesday, March 09, 2010sumber: Berita Harian Online
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
Isu buang bayi perlu pendekatan holistik
MASYARAKAT seolah-olah hanya mampu menyatakan rasa kesal, mengecam tindakan zalim berkenaan, menuding jari menyalahkan remaja yang dikatakan semakin sumbang perlakuan mereka. Adakah kerana bayi malang itu dianggap hasil perzinaan, dikandung tanpa dirancang dan tidak dikehendaki oleh ibu mereka, tanpa bapa yang sanggup melindungi lalu kemudian dibiarkan atau dibuang untuk menutup aib dan malu, maka kematian mereka tidak harus dibela?
Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, mengutuk keras perbuatan berkenaan, menegaskan bahawa setiap bayi berhak disambut kelahirannya oleh pasukan perubatan yang terlatih di premis kesihatan yang serba lengkap untuk mengendalikan sebarang kecemasan.
Katanya, setiap ibu yang hamil, berhak mendapatkan jagaan kehamilan yang sempurna untuk memastikan kesihatannya terjaga sepanjang masa.
“Setiap bayi baru lahir yang ditemui mati terdampar, dikira satu kematian neonatal iaitu bayi berusia tidak lebih empat minggu yang secara tidak langsung menandakan jagaan kesihatan yang tidak sempurna dan tahap kesihatan yang rendah.
“Awal Julai lepas, dilaporkan penemuan mayat reput seorang wanita muda di bilik asrama salah sebuah IPT di selatan tanah air, bersama bayi yang dilahirkannya sendirian. Kematian ibu yang melahirkan bayi tanpa bantuan perubatan ini perlu dilihat sebagai satu kematian ibu (maternal mortality) yang sepatutnya boleh dielakkan sekiranya jagaan kesihatan dan perubatan dapat diberikan seperti lazimnya,” katanya.
Katanya, sama ada suka atau tidak, mahu atau sebaliknya ibu dan bayi perlu diberikan perhatian tanpa mengambil kira bayi itu dihasilkan menerusi cara halal atau haram.
“Pendekatan lebih pragmatik dan serius perlu segera diambil dalam menangani isu pembuangan bayi ini. Ia tidak boleh hanya dilihat dari sudut pandang gejala sosial dan seksual semata-mata. Pendekatan berkenaan mestilah dilakukan secara holistik dan menjurus kepada penyelesaian akar umbi masalah, dengan menekankan kedua-dua aspek pencegahan dan rawatan (prescriptive) secara serentak.
“Semua pihak perlu memainkan peranan lebih bertanggungjawab dalam usaha mencegah gejala sosial yang sedang berleluasa dan semakin parah hari ini. Ianya mesti bermula pada tahap individu yang harus diperkayakan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran membuat keputusan yang bijak, bertanggungjawab berkaitan aspek seksualitinya. Setiap individu tanpa mengira gender, usia, pangkat dan kedudukan mesti mempunyai daya tahan, disiplin serta integriti yang tinggi dalam mengendalikan emosi dan keinginan nafsu syahwatnya,” katanya.
Beliau berkata, usaha mesti dipertingkatkan agar institusi keluarga dan masyarakat kembali membangunkan sistem nilai dan disiplin hidup yang mampu mengawal tingkah laku ahli-ahlinya, selari dengan bertambahnya cabaran yang menghakis nilai murni dalam komuniti.
Katanya pihak berwajib mestilah mengekang sebarang aktiviti dan kegiatan yang membuka peluang luas kepada berlakunya perzinaan seperti pergaulan bebas, hiburan tanpa batas dan gaya hidup hedonistik yang menggalakkan penagihan dadah, alkohol dan seks.
Strategi mendidik dan menyeru masyarakat untuk kembali mengamalkan ajaran agama yang menekankan gaya hidup murni mesti dilipat gandakan dan menjadi keutamaan di setiap peringkat, dari yang paling atas iaitu pucuk pimpinan negara sehinggalah kepada rakyat jelata.
“Kami akur, sekalipun langkah pencegahan dijalankan, masih terdapatnya kelompok ahli masyarakat yang tetap akan terjerumus mengamalkan gaya hidup seksual berisiko tinggi. Pergaulan bebas yang berakhir dengan perzinaan sering kali mengakibatkan kehamilan yang tidak dikehendaki, di samping komplikasi lain seperti pembuangan dan pembunuhan bayi, pengguguran janin, penyakit jangkitan kelamin, HIV/Aids dan keganasan seksual. Dalam konteks ini, pendekatan rawatan mestilah diambil bagi menangani isu berkenaan,” katanya.
Melihat penyelesaian yang dilaksanakan oleh masyarakat Barat, hasil akhir yang dijangka ialah bayi yang ditinggalkan akan diserahkan kepada keluarga angkat. Masyarakat Malaysia menentang langkah yang diguna pakai oleh Barat kerana dikhuatiri menggalakkan pembuangan bayi secara berleluasa. Namun apakah kita mahu melihat lebih ramai bayi dibuang di dalam longkang, pagar masjid atau di hadapan rumah kita?
Mekanisme pastikan 'bapa' bertanggungjawab
DR Harlina berkata, setiap janin dan bayi, sekalipun yang terhasil daripada perzinaan mestilah diberikan peluang dan hak untuk hidup. Ini berpandukan kepada sirah Rasulullah SAW, di mana seorang wanita Al-Ghamidiyah mengaku hamil selepas berzina dan meminta dilaksanakan hukuman hudud ke atasnya.
Namun, Rasulullah SAW menangguhkan hukuman berkenaan untuk memberi peluang kepada bayi itu dilahirkan dengan selamat dan selesai tempoh penyusuannya.
“Jelas betapa Islam mengambil pendekatan melindungi dan membela bayi yang tidak berdosa, selari dengan intipati ajarannya sebagai rahmatalil alamin (rahmat untuk sekalian alam). Langkah praktikal mesti segera diambil untuk mengelakkan ibu yang hamil akibat perzinaan dalam masyarakat hari ini tidak berfikiran panjang lalu mengambil keputusan melulu membuang dan membunuh bayi yang baru dilahirkan.
“Setiap wanita yang hamil, sama ada yang sudah sah berkahwin ataupun belum, mesti mendapatkan jagaan antenatal di pusat kesihatan berhampiran secara berkala untuk memastikan kesejahteraannya dan janin dalam kandungan terpelihara. Wanita yang menyembunyikan kehamilannya (concealed pregnancy ) sering kali berhadapan dengan risiko komplikasi seperti cubaan menggugurkan kehamilan, kepucatan, preeklampsia, kelahiran pramatang atau kematian ketika melahirkan.
“Mereka mesti bertanggungjawab terhadap kesihatan diri mereka sendiri dan tidak seharusnya mempertaruhkan nyawa mereka melalui kehamilan dan kelahiran sendirian,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, meletakkan kesalahan pada bahu wanita semata-mata tidak seharusnya berlaku kerana mungkin dalam keadaan tertentu wanita berkenaan menjadi mangsa.
“Pasangan lelaki yang terbabit dalam perzinaan sehingga menyebabkan kehamilan mesti dipertanggungjawabkan. Perkembangan kajian saintifik yang membabitkan DNA dan genetik hari ini membolehkan pembuktian terhadap asal-usul keturunan manusia dibuat. Satu mekanisme perundangan perlu diusahakan agar pasangan lelaki dalam perzinaan tidak boleh secara sewenang-wenangnya berlepas tangan dari memikul tanggungjawab yang sepatutnya,” katanya.
Dr Harlina berkata, pimpinan negara dan agensi kerajaan yang berkaitan perlu mengambil langkah menyediakan tempat perlindungan yang mampu membimbing wanita hamil di luar nikah menjalani kehidupan lebih bermakna.
Jagaan antenatal boleh dijalankan dengan baik, kelahiran bayi dikendalikan oleh mereka yang terlatih dan proses pengangkatan bayi melalui saluran yang formal dapat dibuat sekiranya si ibu mahu menyerahkan bayinya kepada orang lain.
“Bagaimanapun, pusat perlindungan ini tidak boleh berfungsi sebagai pusat transit atau ‘one-stop centre’ yang menjadi tempat persinggahan sementara bagi wanita yang hamil di luar nikah semata-mata untuk melahirkan bayi saja. Cadangan pendekatan rawatan diharap dapat memberi ruang dan peluang kedua kepada mereka yang terlanjur untuk bertaubat, tidak mengulangi perbuatan sama dan kembali ke pangkal jalan menjalani kehidupan menurut kehendak syariah dengan kerahmatan Islam.
INFO: Lokasi buang bayi:
- Tempat yang sering dicari ialah di dalam tandas, rumah kosong, tempat pelupusan sampah, saluran tangki najis, sungai, tepi pantai, longkang atau di rumah ibadat. Selain itu, tempat tumpuan awam seperti gerai makan, stesen kereta api dan pintu pagar klinik kesihatan turut menjadi pilihan.
- Kepelbagaian tempat pembuangan memberi gambaran kepada kita sejauh mana tahap simpati pelakunya. Ada sesetengah kes yang pelaku menunjukkan kekejaman dan kezaliman, bayi akan dipam masuk ke dalam saluran tangki najis bagi menghilangkan bukti kelahiran. Pelaku yang masih ada simpati dan rasa bersalah akan menghormati bayi mereka dengan menyelimut, diberi susu dan diletakkan di tangga surau atau di hadapan rumah orang yang berpengaruh.
- Pelaku membuang bayinya di tempat tertentu kerana tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan kelahiran, malah lebih malang jika perempuan berkenaan berumur 14 atau 15 tahun kerana keadaan mental dan fizikal mereka belum bersedia untuk menerima kelahiran berkenaan.
- Dalam kes pembuangan bayi, negara Barat mengambil pendekatan memperkenalkan pendidikan seksual di sekolah. Jerman antara negara yang berusaha mengatasi masalah ini dengan pelbagai cara. Selain pendidikan seks, Jerman memperkenalkan “Baby’s Craddle” untuk mereka yang tidak tahu ke mana hendak membuang bayi yang baru lahir. Kaedah ini dipraktikkan di tempat terpilih khususnya hospital dan dipantau oleh kamera litar tertutup sepanjang masa. Sasaran utama ialah ibu muda yang ketakutan dan panik supaya anak yang dilahirkan akan diberi penjagaan kesihatan yang sewajarnya. Bayi yang diletakkan di Baby’s Craddle akan diambil oleh jururawat bertugas dalam masa dua minit. Ibu muda berkenaan diberi tempoh lapan minggu untuk menuntut anaknya dan tempoh ini cukup untuk menstabilkan emosi dan fizikalnya.
- Di Amerika Syarikat, kerajaan membantu ibu muda untuk meletakkan bayi yang baru dilahirkan di tempat terpilih seperti hospital, balai bomba, agensi kebajikan swasta atau agensi anak angkat. Ibu atau orang yang meninggalkan bayi berkenaan tidak perlu memberi butir terperinci. Penjagaan seterusnya diambil alih oleh kerajaan. Jika ibu atau bapa tidak menuntut bayi berkenaan dalam tempoh tiga bulan, hak ibu bapa boleh ditamatkan dan anak berkenaan boleh diberi kepada keluarga angkat.
- Rasional kebenaran seperti ini untuk mengelakkan bayi dibuang di merata tempat yang boleh membahayakan diri dan mengelakkan mati sebelum dijumpai. Dalam kebanyakan kes, mayat bayi dijumpai di tempat yang yang sangat menyedihkan. Melalui undang-undang Safe Haven yang diperkenalkan, ibu muda dibenarkan untuk meninggalkan bayi mereka tanpa dikenakan tuduhan jenayah. Pada masa yang sama mendidik masyarakat untuk menghargai nyawa dan kehidupan tanpa mengira siapa dan di mana. Kesedaran masyarakat terhadap undang-undang Safe Haven ini turut dibantu oleh jaringan ibu bapa yang menyedari keperluan memberi bantuan dan sokongan kepada remaja terbabit.
APa perlu dilakukan jika pelajar dikesan hamil?
CIKGU Jasmin (bukan nama sebenar) terpanggil menceritakan pengalaman pelajar sekolah menengah tempatnya mengajar melahirkan anak di rumah tanpa pengetahuan ibu bapa membuktikan mana-mana remaja yang terdesak tidak tahu ke mana arah dan tuju mendapat bantuan. Takut, bimbang, malu bercampur baur menjadikan tindakan diambil selalunya tidak terjangkau oleh fikiran waras.
Kisah berlaku di sebuah sekolah di luar bandar. Menceritakan kepada penulis, katanya, pelajar berkenaan dikenali sebagai Z, tidak nampak tanda-tanda pelajar nakal.
“Pelajar berkenaan bersekolah di sekolah menengah A sejak tingkatan 1. Keputusan PMR tidak begitu membanggakan, tetapi tetap meneruskan persekolahan ke tingkatan empat sekolah sama. Bagaimanapun ketika awal tingkatan 4 beliau memohon mengikuti pelajaran ke sekolah swasta di sebelah Pantai Timur dengan alasan lebih privasi, atas sokongan keluarga. Di situlah beliau mengandung.
“Tidak lama di situ beliau berhenti, mungkin kerana sudah mengetahui dirinya hamil. Z menyambung pengajian di sekolah menengah A semula. Memang pelajar ini bertubuh besar. Bukan saja pihak sekolah tidak tahu beliau hamil, sebaliknya ibunya yang juga berkhidmat di sebuah hospital, langsung tidak mengetahui dia hamil,” katanya.
Dalam temuramah dengan ibu pelajar berkenaan, Cikgu Jasmin berkata, ibu Z tidak tahupun anaknya melahirkan bayi berkenaan di dalam bilik di rumahnya.
“Z melahirkan anak berkenaan dalam bilik. Ketika melahirkan anak berkenaan A hanya memutuskan tali pusat bayi itu dengan hanya memutuskannya merentap menggunakan tangannya, hinggakan bayi berkenaan mengalami masalah di bahagian tali pusat.
“Ketika bayi menangis A akan memberikan susu formula orang dewasa kerana tidak tahu menguruskannya. A juga mempunyai tabiat memasang radio kuat hingga ‘kegiatannya’ sukar dikesan ibu sendiri yang bekerja sebagai jururawat desa. Bagaimanapun cerita itu akhirnya terbongkar apabila A didapati semakin lemah dan ibunya membawanya ke hospital. Di hospital semua perlakuannya itu terbongkar,” katanya ringkas.
Pendedahan Cikgu Jasmin boleh menimbulkan pelbagai persoalan, seperti bagaimana pihak sekolah dan ibu bapa menangani isu sebegini. Adakah pelajar dibenarkan bersekolah walaupun hamil, dan bagaimana pula cuti bersalin? Beliau berharap pihak berkaitan boleh bersama-sama memikirkan isu ini dan mencari jalan terbaik menanganinya.
1 comments
sekarang ni memang dah ramai manusia bertopengkan syaitan, tiada hati perut, bayi yang suci bersih langsung tak dikasihani, semuanya sebab nafsu..
ReplyDelete