Pantang larang buat ibu bekerja yang memerah susu. Kalau tak mahu susu perahan sedikit, tolonglah jangan buat 5 perkara ini:
1- Tak Ikut Jadual Mengepam
Masa baru naik kerja bersemangat ikut jadual mengepam. 2-3 jam sekali mesti pergi mengepam. Tapi apabila sudah sibuk, mulalah 'skip' sesi mengepam.
Kalau sehari dua, tak apalah. Kalau sudah berbulan-bulan, usahlah pelik susu perahan sedikit yang berjaya dibawa pulang.
Cuba sebaiknya untuk ikut jadual yang telah dibuat.
2- Tunggu Payudara Bengkak
Kerja menimbun, sayang nak tinggal meja kerja. Walaupun dah tiba masa mengepam. Tunggu sajalah payudara bengkak. Kalau tak bengkak tak payah pam.
Perbuatan begini menyebabkan penghasilan susu terbantut. 'Supply' tidak akan ada jika tiada 'demand'.
Lagi pula, jika menunggu payudara bengkak menyebabkan komposisi susu perahan tak seimbang. Lebih banyak susu foremilk dari hindmilk.
3- Tak Ganti Sesi Mengepam
Tak sempat langsung pam di pejabat. Bila sampai di rumah pula tersadai pam di tepi dinding. Sebaiknya, apabila sudah 'skip' memerah susu semasa di pejabat gantikanlah semasa di rumah.
Anda boleh memerah sambil anak menyusu. Ataupun setelah anak menyusu dan tidur, ambil masa 15-20 minit untuk mengepam. Barulah stok susu perahan dapat dikumpul.
4- Tidak Memerah Susu
Ini sebab yang paling kaw! Langsung tidak memerah susu apabila di tempat kerja. Hanya mengharapkan anak menyusu di rumah nanti.
Jika anak jenis hisap bersungguh-sungguh mungkin susu tak terjejas. Tetapi jika anak pun hisap main-main sebab dah kenyang dengan susu formula. Jangan pelik jika sampai masa nak memerah susu, hanya sedikit saja susu yang dapat dikumpul.
Jika berniat mahu menyusukan anak hingga usia dua tahun, elakkan dari buat perangai begini.
5- Berikan Susu Formula
Tanpa disedari, akibat dari stress di tempat kerja dan tak sempat mengepam. Akhirnya susu perahan sedikit saja.
Stok beku EBM pula dah habis. Habislah susu tak cukup. Maka terpaksalah beli dan berikan anak susu formula.
Mulanya beri semasa anak di rumah pengasuh untuk 'top-up'. Tapi bila benda dah ada depan mata, makin mudahlah nak berikan anak susu formula.
Penat balik kerja dan tak larat, minta tolong suami bancuhkan susu formula. Cuba kalau memang tak ada langsung susu formula di dalam rumah, pasti anda akan berusaha sehabis baik untuk menyusukan anak.
Manusia, apabila benda ada tak dihargai. Bila dah tak ada, barulah beriya nak cari. Seperti ibu yang hentikan penyusuan badan tanpa sebab yang munasabah.
Tiba-tiba apabila ada suatu kejadian, atau anak selalu sakit barulah nak kembali berikan susu badan. Tapi masa tu, susu badan pun dah kering.
Terpaksa relaktasi. Bagi yang kuat mental, boleh berjaya. Tapi bagi yang tak? Terhentilah penyusuan susu ibu selamanya.
Oleh itu, jika anda nak capai tempoh dua tahun. Elakkan dari buat 5 perkara ini ya.