Tips Anak Sihat Bijak
7 Tips Anak Mendengar Kata Tanpa Perlu Tinggikan Suara, Ini Berkesan!
Tuesday, March 22, 2016Assalamualaikum,
Sering kali kita sebagai ibu ayah mahu anak mendengar kata. Namun, ramai antara tak tahu cara yang betul. Cara yang sering dilakukan adalah dengan cara meninggikan suara.
Mungkin tampak berkesan. Tapi jika selalu meninggikan suara, mungkin anak sudah tak hiraukan lagi. Makin menjerit, makin dibuat perkara yang dilarang.
Ubah Gaya 'Parenting'
Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya. Mungkin masa kita kecil dulu bila mak ayah beliakkan biji mata, kita dah menikus takut. Tapi bila kena anak sendiri, rasa nak terkeluar biji mata nak suruh anak takut. Tapi tak laku.
Mungkin cara menakutkan anak sudah ketinggalan zaman. Apa kata kita ubah kepada sesuatu yang baru.
7 Tips Anak Mendengar Kata ini sangat membantu anda untuk menjadi ibu ayah yang lebih 'cool'. Paling penting anak dengar kata dan makin sayang dengan anda.
1- Bila Anak Menangis
Kebiasaan React : "Ish bisinglah, berhenti menangis sekarang!"
Tukar kepada Respon: "Sofhea menangis ye, mari sini ibu peluk kuat-kuat. Cuba bertenang, nangis perlahan-lahan ye"
Mungkin ayatnya lebih panjang dari biasa. Tetapi cara ini berkesan untuk meredakan tangisan anak. Anak juga ada emosi, jadi usahlah disekat dari dia melampiaskan emosinya.
Perkataan seperti "kan abang dah besar, tak payah lah menangis...macam budak kecil" hanya akan membantutkan perkembangan emosinya. Dia juga akan menganggap bahawa menangis itu salah.
2- Bergaduh Di Dalam Kereta
Kebiasaan React: "Hah bergaduhlah lagi, tak payah pergi tepi pantai. Kita balik rumah!"
Tukar kepada Respon: "Ibu berhentikan kereta sekarang. Bila kamu berhenti bergaduh, baru ibu sambung bawa kereta ini"
Ugutan sesekali mungkin berkesan. Tapi kalau selalu dicakapkan, anak tidak lagi takut. Suruh berhenti bergaduh, makin teruk pula jadinya.
Kaedah 'reasoning' seperti 'berhenti bergaduh, baru ibu sambung memandu' lebih jelas dimata anak-anak. Mungkin sukar pada mulanya. Tapi cubalah, it's worth it.
3- Air Tumpah Atas Sofa
Kebiasaan React: "Ya Rabb, tumpahkan air....apalah kamu ni, minum air pun tumpah"
Tukar kepada Respon: "Kakak..tumpah lagi ye, dah-dah jom pergi dapur ambil kain buat lap air ni. Kakak lap, ibu tolong"
Bukanlah anak sengaja mahu tumpahkan air. Sudahlah tak sengaja, kena marah pula. Cuba bayangkan kalau kita kena marah. Mesti sedih. Jadi samalah dengan anak kita.
Dari marahkan dia, ajaklah dia sama-sama mengelap air yang tumpah. Dari situ dia akan belajar erti tanggung jawab. Memarahkan anak akan membina rasa dendam di dalam dirinya.
4- Anak Kecewa
Kebiasaan React: "Mana boleh kamu saje yang dapat. Mengalahlah!"
Tukar kepada Respon: "Ibu tahu Rayna sedih, tapi ini keputusan ibu"
Anak-anak masih tidak memahami mengapa dia harus mengalah dan harus kecewa. Memarahi atau menjanjikan anak dengan perkara yang lain hanyalah penyelesaian cara singkat. Tunjukkan bahawa anda adalah 'bos' dan anak perlu mendengar kata.
5- Anak Bingung Dengan Kerja Sekolah
Kebiasaan React: "Hei, inilah nombor 5..tak kan lah tak tahu!"
Tukar kepada Respon: "Ruwayfi nampak payah nak buat kerja Matematik ni, ada apa-apa yang ibu boleh tolong"
Tidak semua anak-anak 'fast learner'. Ada yang sedikit lambat, tapi bukan bermakna mereka tidak pandai. Teruskan beri sokongan pada anak, usah tempelak anak jika dia belum pandai.
6- Anak Merengek
Kebiasaan React: "Sudahlah merengek-rengek tu...rimas ayah dengar"
Tukar kepada Respon: "Abang, kalau nak sesuatu minta elok-elok lah"
Ajarkan anak cara yang betul bagaimana cara untuk meminta sesuatu. Cara ini membuatkan anak mendengar kata dan tak lagi merengek bila mahukan sesuatu.
7- Kecewa Dengan Perangai Anak
Kebiasaan React: "Kamu ni asyik buat ibu marah je!"
Tukar kepada Respon: "Ibu tengah marah dengan kamu, biarkan ibu seorang bertenang dalam bilik ini"
Agak mustahil jika anak-anak tak membuat anda marah dalam sehari. Tak salah marahkan anak, cuma gunalah cara yang betul.
Ingat ye, kita ibu ayah adalah cerminan anak-anak. Kalau baik kita tunjukkan, Insyaallah anak juga jadi anak yang baik. Tak perlu jeritan, pasti anak mendengar kata.