Tips Rumahtangga
5 Cabaran Rumahtangga Mesti Selesaikan Segera! Kalau Tidak...
Thursday, January 21, 2016
Assalamualaikum,
Rumahtangga tidak akan selalu bahagia. Cabaran rumahtangga sentiasa mendatang, samaada kita bersedia ataupun tidak. Tanganilah setiap masalah dengan cara yang bijak.
Masalah tidak akan selesai, jika hanya suami atau isteri sahaja yang berusaha. Perlu ada kerjasama.
Sampai bila-bila pun, suami dan isteri mesti menyokong di antara satu sama lain. Tidak kira susah senang. Tidak kira baik atau jahat.
Terdapat 5 cabaran rumahtangga yang sering berlaku dalam hubungan suami isteri. Tanpa bantuan dari pasangan, rumahtangga mungkin akan musnah begitu sahaja. Berikut adalah cabarannya:
1- Pasangan Mula Berbohong
Cabaran ini sering sahaja berlaku. Ada yang memang berniat jahat, contohnya si suami menipu isteri dengan cara kikis semua duit dan harta isteri. Mungkin sebab dendam kerana dipaksa berkahwin.
Ada juga yang baik, cuma perkara yang dilakukannya tidak betul. Contoh, si isteri jenis yang asyik nak berkepit dengan suami. Suami pula sesekali mahu lepak dengan kawan-kawan.
Maka terpaksalah dia berbohong "Yang, abang ada meeting tergemparlah petang ni. Abang balik lambat ye".
Usah dibiarkan pasangan terus menipu. Cari jalan untuk nasihatkannya. Gunakanlah sebaik-baik ayat, dan elakkan dari bergaduh bila mahu selesaikan sesuatu isu. Be professional!.
2- Pasangan Jadi Dungu
Cabaran ini jarang diperhatikan. Tetapi jika terus dibiarkan ia akan mengundang masalah yang lebih teruk.
Dungu ini merujuk kepada tahap ilmu dan IQ pasangan masing-masing. Contoh, suami bekerja di sektor swasta dan memegang jawatan besar.
Tapi isteri pula seorang surirumah. Dan hanya jalankan rutin harian. Apabila usia perkahwinan semakin meningkat, jika ini terus berlaku ia akan mencipta jurang yang besar.
Kerana itulah ada pasangan yang tidak lagi berbual mesra. Bukan tidak mahu, tapi tiada tajuk yang kena. Takkanlah hari-hari mahu cerita pasal anak sahaja.
Oleh itu, baik isteri mahupun suami mestilah menambah ilmu. Akal tak berkembang, jika ilmu tak bertambah. Ini termasuklah ilmu kekeluargaan. Kalau boleh suami dan isteri sama-sama hadirkan diri. Barulah nampak lebih romantis.
3- Pasangan Kikir
Mungkin semasa awal perkahwinan tidak ketara. Terdapat jenis pasangan yang sanggup belanja kawan sekerja, tapi jarang sekali belanja isteri dan anak-anak makan sedap.
Kalau bawa pun, ke tempat yang paling murah. Order pula menu yang paling murah. Kesian isteri dan anak-anak.
Bila perkara ini berlaku, cubalah cari jalan untuk nasihatkan pasangan. Mungkin dia terlupa atau tidak tahu. Jika tidak mampu, boleh minta bantuan mereka yang lebih tua dan berpengalaman.
Apabila nafkah tidak cukup, tapi selalu cukup belanja kawan-kawan hukumnya adalah haram.
Sedekah yang paling baik adalah pada keluarga sendiri. Terutama sekali
pada isteri dan anak-anak. Allah sudah janjikan 10 kali ganjaran sedekah
di dunia. Itu tidak termasuk lagi pahala di akhirat nanti.
4- Pasangan Merasa Takut
Pelbagai ketakutan yang boleh menimpa pasangan. Contoh, suami selalu takut duit tak cukup untuk bagi anak isteri makan.
Isteri pula takut diri dah tak cantik dan suami cari yang lain.
Sandarkan semua pada Allah SWT. Kerana Dialah yang memegang hati setiap dari kita. Begitu juga dengan rezeki. Bukan disebabkan kita kerja, maka kita dapat duit. Tapi ia datang dari Allah SWT.
Tingkatkan ketakwaan bersama-sama. Letakkan Allah sebagai yang utama dalam setiap urusan rumahtangga. Insyaallah, bahagia dunia akhirat.
5- Pasangan Menjadi Fasik
Ini antara cabaran yang paling berat. Suami atau isteri mula melanggar perintah Allah SWT. Tinggalkan solat dan melakukan pelbagai kemungkaran.
Usah tinggalkan pasangan, bantulah dengan cara menasihatkan dia. Banyakkan meminta pertolongan Allah SWT supaya pasangan kembali ke jalan yang lurus.
Jangan sesekali meletakkan suami atau isteri sebagai yang pertama di dalam hidup kita. Sentiasa jadikan Allah sebagai yang utama. Nabi Muhammad SAW yang kedua. Kemudian, barulah pasangan masing-masing.
Percayalah, jika kita jaga setiap urusan kita dengan Al-Khaliq. Maka Dia akan menjaga sebaik-baiknya urusan kita yang lain.
Sumber: Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin, Slot Pesona 'Zahra IKIM FM.