huhuhu eray dah tersilap langkah, in 2005 eray sign up for insurance with pru*** sebab tertarik dengan coverage & medical card yang diberi. tanpa memikirkan adakah insurance ini halal atau haram di sisi syariah.
dulu eray tak concern sangat sebab pru*** is investing in all islamic fund. so eray ingat insurance nie halal. tapi baru-baru nie eray dikejutkan oleh sorang kawan, die terangkan insurance yang halal dan haram. dan eray ade buat sedikit research dan menjumpai artikel di bawah, semoga menjadi penduan untuk kita semua.
SOALAN
Assalamualaikum ustaz,
Saya tercari2 artikel @ soal jawab mengenai hukum insurance tapi tak jumpa. Walaupun saya banyak dengar pendapat tentang insurans haram, namun saya perlukan pendapat dari ustaz yang lebih pakar dalam hal ini dari sudut teknikal/syariah.
Apakah hukum insurans sebenarnya? Apakah syarikat xxxxxx sbg contoh, melaburkan sebahagian premium ke dalam dana berlandaskan syariah boleh dianggap islamic? Atau boleh ustaz simpulkan supaya saya dapat memulakan pelaburan yg diredhai Allah.
Terima kasih.
Budiman Abd. Rahman.
JAWAPAN UST ZAHARUDDIN
Secara ringkasnya, perbincangan hukum insuran telah dibincangkan begitu panjang lebar oleh para ulama' tertutamanya di kalangan ulama' Timur Tengah. Oleh kerana sistem Insuran ini suatu ciptaan yang dikira baru menurut zaman iaitu disekitar tahun 1666 m di London, sistem ini hanya menembusi dunia Islam Arab hanya sekitar 1830 M1. Ini dapat dilihat daripada fatwa pertama yang dikeluarkan oleh Al-Allamah Al-Syeikh Muhd Amin (Ibn ‘Abidin, wafat thn 1836 m @ 1252 H) Beliau merupakan fuqaha' ulung bermazhab Hanafi di Syam dan dianggap cendikiawan Islam pertama yang mengeluarkan fatwa berkenaan Insuran. (Hasyiah Ibn ‘Abidin, Jilid 4, hlm 170)
Insuran Konvensional :
Ia adalah suatu kontrak perniagaan (business) dan termasuk dari kalangan Kontrak Pertukaran Kewangan (‘Uqud Mu'awadat Maliah). Dimana ia mewajibkan syarikat Insuran membayar jumlah tertentu kepada pencarum insuran apabila berlaku beberapa jenis kemalangan @ musibah yg telah ditentukan di dalam kontrak (aqad) bersesuaian dengan kadar-kadar tertentu. Ia juga bergantung kepada jumlah caruman pencarum. [1]
Kontrak Insuran ini mengandungi ciri-ciri berikut :
1. Redha di kedua-dua pihak (iaitu syarikat Insuran dan Pencarum). Ia ibarat satu kontrak perjanjian yang lengkap dan mengandungi aspek ijab & qabul.
2. Pihak yang memberi insuran ; Iaitu pihak syarikat Insuran.
3. Pencarum; iaitu individu yang membayar jumlah tertentu dan yang membuat penjanjian dengan syarikat Insuran.
4. Yang menerima manfaat ; Iaitu seperti anak kepada individu atau isteri dan lain-lain.
5. Kebahayaan @ musibah ; Iaitu jenis-jenis musibah @ kemalangan yang diandaikan yang ditentukan di dalam kontrak, seperti kecurian, kebakaran, kecederaan, kematian dan lain-lain.
Bentuk Insuran ini adalah seperti :- Insuran Terhadap Musibah Menimpa Tubuh, Insuran Nyawa, Insuran Harta dan pecahannya (kereta, motor, rumah dan lain-lain), Insuran Kemalangan Jalanraya, Insuran Kerja dan lain-lain.
SALAH SATU SEBAB UTAMA INSURAN KONVENSIONAL MENJADI HARAM ADALAH RIBA
Ia adalah satu perbincangan ‘ilmiah dan sebenarnya memerlukan ‘basic knowledge' tertentu yang agak kukuh untuk memahaminya dengan sempurna, bagaimanapun penulis akan cuba memudahkan dalil-dalil ini demi memberikan kefahaman semaksimum mungkin di kalangan pembaca. Selebihnya perlulah pembaca melakukan kajian dan rujukan kepada ilmuan Takhassus Fiqh di Universiti-universiti bagi mendapatkan penjelasan dengan lebih terperinci.
Demi mendapat kefahaman sepenuhnya dalam bab ini, pembaca mestilah mempunyai ilmu asas berikut :-
a) Pembahagian kepada Aqad Mu'awadat (Pertukaran) & Tabarru'ah (Derma @ Sumbangan)
b) Riba & pembahagiannya
c) Syarat jual beli dalam Islam.
Menurut majoriti kumpulan ilmuan dan ulama Islam, Insuran konvensional ini adalah haram kerana terdapat Unsur Riba yang jelas di dalamnya. [2]
Huraian :- Riba jelas wujud, apabila syarikat insuran membayar jumlah tertentu kepada si pencarum yang terkena musibah. Ia dianggap riba kerana wang (dari pencarum) berbalas wang (dari syarikat) dengan jumlah yang berbeza, padahal wang merupakan item ribawi (usurious items) sebagaimana enam (6) item yg telah disebutkan Nabi di dalam hadithnya.
Nabi SAW telah mensyaratkan dengan jelas dan terang, apabila bermu'amalah di antara dua item ribawi yang sama jenis (contoh di sini adalah wang RM dari pencarum dengan wang RM dari syarikat insuran), ia mestilah terikat dengan syarat:
a. Sama Nilai (mathalan bi mathalin)
b. Diserahkan di ketika mu'amalah di lakukan. (yadan diyadin)
Syarat ini bersumber dari hadith :
" Jangan kamu jual emas dgn emas kecuali bersamaan nilaian dan timbangannya, jgn kamu melebihkan salah satu darinya di atas yg lain.." ( Al-Bukhari & Muslim)
" Jangan kamu jual emas dgn pulangan emas, perak dengan pulangan perak kecuali (mestilah ia) dlm timbangan yg sama, nilaian yg sama..(Muslim)
Maka setiap perbezaan nilai (dalam item ribawi) di anggap Riba al-Fadl yang diharamkan (Tahrim Wasail). Apabila pencarum mendapat pulangan wang dengan jumlah berbeza maka berlakulah Riba al-Fadl ini. Iaitu TIDAK ADA KESAMAAN NILAI DALAM URUSNIAGA DUA ITEM RIBAWI.
Manakala pembayaran bertangguh dalam dua barangan Ribawi adalah Riba An Nasi'ah yang diharamkan secara jelas oleh Allah SWT di dlm al-Quran. Dalam hal insuran sudah tentulah berlaku penangguhan, iaitu apabila pencarum terkena musibah barulah akan dibayar jumlah tertentu. Inilah dinamakan Riba An-Nasiah. Prof. Dr Muhd Baltaji ( ulama besar di Univeristi Al-Qaherah - telah meninggal dunia) menjelaskan bahawa kontrak insuran ini sama sekali tidak boleh lari dari Riba An-Nasiah ini. Beliau juga menegaskan bahawa mana-mana hujah untuk lari dari anggapan riba ini adalah suatu helah yg tidak sah menurut pandangan syarak [3]. Justeru Insuran mempunyai kedua-dua jenis Riba.
Walaupun adakalanya pencarum tidak berniat mencari keuntungan dari carumannya bahkan hanya untuk merasa lebih selamat terhadap keretanya, rumahnya, ahli keluarganya dan sebagainya, tetapi ia tetap dianggap Riba. Zahir urusniaga insuran tadi cukup untuk mengkategorikan ia sebagai riba, walaupun maksudnya tidak selari dengan riba yang sebenarnya (iaitu mencari untung). Berapa banyak kes yang telah ditemui, terdapat individu yang sengaja membakar kilangnya akibat perniagaan yang rugi bagi meraih wang insuran, pembunuhan ahli keluarga untuk mendapatkan wang insuran bernilai jutaan RM dan lain-lain.
Riba juga boleh berlaku dengan sangat jelas apabila wang caruman tersebut diperniagakan oleh syarikat insuran konvensional di dalam syarikat lain dengan kadar faedah tetap yang diharamkan (biasanya di bank konvensional, bukan secara mudharabah), atau mana-mana syarikat yang bermu'amalah secara riba. Berlakulah pertambahan wang caruman tadi hasil simpanan wang tadi. Malah lebih teruk kiranya, syarikat insuran meletakkan wang itu di dalam syarikat yang melakukan urusniaga haram seperti arak, judi dan lain-lain.
SEBAGAI KESIMPULAN RINGKAS HURAIAN BAGAIMANA INSURAN KONVENSIONAL MENJADI HARAM ADALAH
Jawabnya, aqad adalah perkara utama yang diubah dalam hal ini. Insuran konvensional menggunakan aqad pertukran milik harta (Aqad Mu'awadat Maliah) yang mana ia menyebabkan ia dikira sebagai aqad jual beli. Maka sebagaimana yang perlu kita fahami, aqad jual beli memerlukan kejelasan dalam :
•1) Penjual
•2) Pembeli
•3) Benda yang dijual
•4) Harga
Dalam konteks insuran konvensional ia seperti berikut :-
Penjual : Syarikat insuran
Pembeli : Pencarum
Benda yang dijual : Jaminan kewangan jika terhadap musibah tertentu.
Harga : RM xxx setahun.
Dari empat rukun jual beli tersebut syarikat Insuran mempunyai masalah dalam bab benda yang dijual. Ini kerana apabila si pembeli membeli jaminan wang, ia dikira pertukaran matawang RM dengan RM. Ketika itu ia sepatutnya menuruti syarat yang telah ditetapkan oleh Baginda SAW iaitu serah terima dan jumlah yang sama. Bagaimanapun, hal ini sudah tentu tidak akan berlaku, kerana :-
- a) Si pembeli (pencarum) akan meletakkan wangnya hari ini, dan jumlah RM jaminan itu pula hanya akan diberikan kemudian. Ini menyebabkan para ulama menganggapnya sebagai Riba Nasiah.
- b) Si pembeli juga tidak tahu beraparakah nilai jaminan yang bakal diperolehinya. Walaupun nilaiannya telah dinyatakan dalam skim insuran ini, tetapi keperluan aqad jual beli memerlukan si pembeli mengetahui dengan tepat berapakah nilai yang akan diperolehinya. Maka sudah tentu ini tidak akan dapat diberitahu oleh syarikat kerana musibah belum berlaku. Justeru, di sini pula ia di anggap ‘Gharar'. Malah gharar juga dari sudut pembeli yang tidak pasti adakah tahun itu ia akan berlaku kemalangan dan memperolehi benda yang dibelinya.
- c) Ia dianggap judi pula, kerana ia mempunyai elemen pertaruhan, iaitu meletakkan sejumlah wang bagi memperolehi sesuatu yang tidak pasti, dengan risiko wang yang diletakkan hangus atau tidak dikembalikan.
Pengharaman Insuran Konvensional ini tekah disepakati oleh para ulama antaranya :-
a. As-Syeikh Al-Allamah Muhd Amin Ibn Abidin (1836 M)
b. As-Syeikh Al-Imam Muhd Abu Zuhrah (Meninggal tahun 1972 M, Prof Syari'ah di Univ. Kaherah, dianggap ulama' terulung dlm Ilmu Fiqh)
c. As-Syeikh Al-Imam Muhd ‘Abduh (menurut qawl yg lebih shohih)
d. As-Syeikh Muhd Bukhait al-Mut'ie (Bekas Mufti Mesir, meninggal 1935 M )
e. As-Syeikh Al-Allamah Ahmad Ibrahim al-Husayni (Fuqaha' terulung Mesir & dianggap mujaddid Fiqh Mesir)
f. As-Syeikh Najm al-Din al-Wa'iz (Bekas Mufti Iraq)
g. As-Syeikh Muhd al-Ahmadi al-Zawahiri (Bekas Syeikh al-Azhar)
h. As-Syeikh Salim Matar al-Bisyri (Bekas Syeikh al-Azhar)
i. As-Syeikh Hasunah an-Nawawi (Bekas Syeikh al-Azhar)
j. As-Syeikh Abd Rahman Mahmud Qara'ah (Bekas Mufti Mesir)
k. As-Syeikh Prof. Dr Yusoff al-Qaradhawi (Ulama' dan Da'ie terkemuka di dunia Islam hari ini, Prof. Syarih di Univ. Qatar)
l. Prof. Dr. Muhd Ali Salus (Prof. Fiqh di Univ. Qatar)
m. Prof. Dr. Muhd Othman Syabir (Prof. Fiqh di Univ. Jordan & Qatar)
n. As-Syeikh Prof. Dr Muhd Baltaji (Prof di Univ Kaherah kini, di anggap Fuhaqa' teralim di ketika ini)
o. As-Syeikh Dr. Abdullah al-Qalqili (Bekas Mufti Jordan)
p. Prof. Dr Muhd Sulaiman Asyqar (Prof. Fiqh di Univ. Jordan & Ulama' terkenal di Jordan kini)
q. Prof. Dr Wahbah Az-Zuhayli (Prof. Di Univ. Damshiq Syria, Ulama' terkenal di dunia)
Perlu diingat bhw beberapa Nadwah, Muktamar dan mesyuarat yang menggabungkan para ulama' terulung di seluruh dunia di beberapa kali diadakan, Kontrak Insuran juga telah diperbincangkan oleh mereka. Antara muktamar yg telah dilaksana :
1. Muktamar Agung Berkenaan Ekonomi Islam bersidang kali Pertama tahun 1976 M di Mekah. Peserta hampir 200 para ulama, Prof Syariah dan tokoh2 ekonomi.
Insuran adalah salah satu topik perbincangan mrk. Keputusan mrk adalah INSURAN JENIS PERNIAGAAN (KONVENSIONAL) ADALAH HARAM. Sebab utamanya adalah Riba & Gharar.
2. Majlis Kesatuan Ulama' Besar bermesyuarat pada tahun 1977 M, di Arab Saudi. Keputusan : Insuran jenis Perniagaan adalah Haram.
3. Majma' al-Fiqh al-Islami al-‘Alami (Kesatuan Ulama Fiqh Dunia) bersidang pada tahun 1979 M di Mekah al-Mukarramah, Keputusan Majoriti: Insuran Jenis Perniagaan HARAM samada ke atas Barangan Perniagaan , Nyawa dan lain2 drpd jenis harta.
4. Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia (Majma' al-Fiqh al-Islami) sekali lagi bersidang pada 28 Disember 1985 di Jeddah, juga memutuskan sekali lagi pengharaman Insuran Jenis Perniagaan.
Majma' Fiqh juga secara ijma' mengharuskan insuran jenis kerjasama (ta'awuni) dan mencadangkan ia sbg alternatif insuran perniagaan dan diseru seluruh umat Islam menggiatkannya di negara masing.
Justeru, pendapat jumhur kelihatan terlebih kuat daripada pandangan kumpulan kecil fuqaha'. Amat sukar untuk mendapat kewajaran bagi individu biasa bg menfatwakan sebaliknya setelah diulas sebegitu
PELABURAN ISLAM DENGAN DUIT INSURAN KONVENSIONAL
Adapun soalan berkenaan dengan dana yang terkumpul oleh syarikat insuran itu serta di laburkan ke pelaburan Islam serta mempunyai penasihat Shariah. Bagi saya, telah saya jelaskan bahawa sebelum melabur kita kena melihat terdahulu cara duit terkumpul itu dahulu, samada sah atau tidak dari sudut Shariah. Maka dalam hal ini, syarikat insuran konvensional mengumpul duit itu dengan cara yang tidak sah, justeru tatkala itu, pelaburan Islamnya juga tiada banyak ertinya menurut Islam. Ia tidak dapat lari dari syubhat, ini kerana mungkin terdapat wang dari hasil selain kumpulan wang insurannya disertakan bersama. Wallahu 'alam.
Analogi mudah, seorang yang mencuri duit dan kemudian melaburkannya di dalam pelaburan Islam. Tatkala itu, tiada ertinya lagi pelaburan Islamnya itu. Hanya mengurangkan sedikit dosa sahaja. Kerana jika ia melabur di tempat haram, maka dosanya akan berganda kerana 1) curi 2) Melabur tempat haram.
Sekian
Ust Zaharuddin
5 Mac 2007
15 Safar 1428